.. AKIBAT-AKIBAT BURUK YANG MENGERIKAN DARI BER-ZINA ...
Na'udzubillah Min Dzalik..!!
Bismillahir-Rahmaanir-Rahim ... ZINA merupakan kejahatan yang sangat
besar yang memberi kesan amat buruk kepada penzina itu sendiri,
khususnya dan kepada seluruh umat umumnya.
Di zaman sekarang di
mana banyaknya saluran dan media yang berusaha menyeret kearah
perbuatan keji ini, maka amat perlu untuk setiap
orang mengetahui bahaya dan akibat buruk yang timbul dari dosa zina.
Kita semua hendaklah lebih berhati-hati dan berwaspada agar tidak
terjerumus, hatta, walaupun hanya mendekatinya.
Di antara akibat buruk dan bahaya tersebut adalah :
* Dalam zina terkumpul bermacam-macam dosa dan keburukan yakni
berkurangnya agama si penzina, hilangnya sikap wara’ (menjaga diri dari
dosa), buruk keperibadian dan hilangnya rasa cemburu.
* Zina
membunuh rasa malu, padahal dalam Islam malu merupakan suatu hal yang
amat diambil berat dan perhiasan yang sangat indah khasnya bagi wanita.
* Menjadikan wajah pelakunya muram dan gelap.
* Membuat hati menjadi gelap dan mematikan sinarnya.
* Menjadikan pelakunya selalu dalam kemiskinan atau merasa demikian
sehingga tidak pernah merasa cukup dengan apa yang diterimanya.
* Akan menghilangkan kehormatan pelakunya dan jatuh martabatnya baik di hadapan Allah mahupun sesama manusia.
* Allah akan mencampakkan sifat liar di hati penzina, sehingga pandangan matanya liar dan tidak terkawal.
* Pezina akan dipandang oleh manusia dengan pandangan mual dan tidak percaya.
* Zina mengeluarkan bau busuk yang mampu dihendus oleh orang-orang yang
memiliki ‘qalbun salim’ (hati yang bersih) melalui mulut atau badannya.
* Kesempitan hati dan dada selalu meliputi para pezina. Apa yang ia
dapati dalam kehidupan ini adalah sebalik dari apa yang diingininya. Ini
adalah kerana, orang yang mencari kenikmatan hidup dengan cara
bermaksiat kepada Allah maka Allah akan memberikan yang sebaliknya dari
apa yang dia inginkan, dan Allah tidak menjadikan maksiat sebagai jalan
untuk mendapatkan kebaikan dan kebahagiaan.
* Penzina telah mengharamkan dirinya untuk mendapat bidadari yang jelita di syurga kelak.
* Perzinaan menyeret kepada terputusnya hubungan silaturrahim, derhaka
kepada orang tua, pekerjaan haram, berbuat zalim, serta menyia-nyiakan
keluarga dan keturunan. Bahkan boleh membawa kepada pertumpahan darah
dan sihir serta dosa-dosa besar yang lain. Zina biasanya berkait dengan
dosa dan maksiat yang lain sebelum atau bila berlakunya dan selepas itu
biasanya akan melahirkan kemaksiatan yang lain pula.
* Zina
menghilangkan harga diri pelakunya dan merosakkan masa depannya di
samping meninggalkan aib yang berpanjangan bukan sahaja kepada pelakunya
malah kepada seluruh keluarganya.
* Aib yang dicontengkan
kepada pelaku zina lebih membekas dan mendalam daripada asakan akidah
kafir, misalnya, kerana orang kafir yang memeluk Islam selesailah
persoalannya, namun dosa zina akan benar-benar membekas dalam jiwa
kerana walaupun akhirnya pelaku zina itu bertaubat dan membersihkan diri
dia akan masih merasa berbeza dengan orang yang tidak pernah
melakukannya.
* Jika wanita yang berzina hamil dan untuk
menutupi aibnya ia mengugurkan kandungannya itu maka dia telah berzina
dan juga telah membunuh jiwa yang tidak berdosa .
Jika dia
ialah seorang wanita yang telah bersuami dan melakukan kecurangan
sehingga hamil dan membiarkan anak itu lahir maka dia telah memasukkan
orang asing dalam keluarganya dan keluarga suaminya sehingga anak itu
mendapat hak warisan mereka tanpa disedari siapa dia sebenarnya. Amat
mengerikan, naudzubillah min dzalik.
* Perzinaan akan
melahirkan generasi individu-individu yang tidak ada asal keturunan
(nasab). Di mata masyarakat mereka tidak memiliki status sosial yang
jelas.
* Pezina laki-laki bererti telah menodai kesucian dan kehormatan wanita.
* Zina dapat menyemai permusuhan dan menyalakan api dendam antara keluarga wanita dengan lelaki yang telah berzina dengannya.
* Perzinaan sangat mempengaruhi jiwa kaum keluarganya di mana mereka
akan merasa jatuh martabat di mata masyarakat, sehingga kadang-kadang
menyebabkan mereka tidak berani untuk mengangkat muka di hadapan orang
lain.
* Perzinaan menyebabkan menularnya penyakit-penyakit berbahaya seperti aids, siphilis, dan gonorhea atau kencing bernanah.
* Perzinaan menjadikan sebab hancurnya suatu masyarakat yakni mereka
semua akan dimusnahkan oleh Allah akibat dosa zina yang tersebar dan
yang dilakukan secara terang-terangan.....
HUKUMAN ZINA ...
Demikianlah besarnya bahaya dosa zina, sehingga Ibnul Qayyim, ketika
mengulas tentang hukuman bagi penzina, berkata: “Allah telah
mengkhususkan hadd (hukuman) bagi pelaku zina dengan tiga kekhususan
iaitu:
* Pertama, hukuman mati secara hina (rejam) bagi pezina
kemudian diringankan (bagi yang belum nikah) dengan dua jenis hukuman,
hukuman fizikal yakni dirotan seratus kali dan hukuman mental dengan
diasingkan selama satu tahun.
* Kedua, Allah secara khusus
menyebutkan larangan merasa kasihan terhadap penzina. Umumnya sifat
kasihan adalah diharuskankan bahkan Allah itu Maha Pengasih namun rasa
kasihan ini tidak boleh sehingga menghalang dari menjalankan syariat
Allah.
Hal ini ditekankan kerana orang biasanya lebih kasihan
kepada penzina daripada pencuri, perompak, pemabuk dan sebagainya. Di
samping itu penzinaan boleh dilakukan oleh siapa sahaja termasuk orang
kelas atasan yang mempunyai kedudukan tinggi yang menyebabkan orang yang
menjalankan hukuman merasa enggan dan kasihan untuk menjalankan
hukuman.
* Ketiga, Allah memerintahkan agar pelaksanaan hukuman
zina disaksikan oleh orang-orang mukmin dengan maksud menjadi
pengajaran dan memberikan kesan positif bagi kebaikan umat.
BEBERAPA PERKARA PENTING YANG PERLU DIPERHATIKAN ....
Orang yang berzina dengan banyak pasangan lebih besar dosanya daripada
yang berzina hanya dengan satu orang, demikian juga orang yang
melakukanya berkali-kali dosanya lebih besar daripada yang melakukannya
hanya sekali.
* Penzina yang berani melakukan maksiat ini
dengan terang-terangan lebih buruk daripada mereka yang melakukannya
secara sembunyi-sembunyi.
* Berzina dengan wanita yang
bersuami lebih besar dosanya daripada dengan wanita yang tidak bersuami
kerana adanya unsur perbuatan zalim (terhadap suami wanita), boleh
menyalakan api permusuhan dan merosak keutuhan rumah tangganya.
* Berzina dengan jiran lebih besar dosanya daripada orang yang jauh rumahnya.
* Berzina dengan wanita yang sedang ditinggalkan suami kerana perang (jihad) lebih besar dosanya daripada dengan wanita lain.
* Berzina dengan wanita yang ada pertalian darah atau mahram lebih
jahat dan hina daripada dengan yang tidak ada hubungan mahram.
*
Ditinjau dari segi waktu maka berzina di bulan Ramadhan, baik siangnya
ataupun malamnya, lebih besar dosanya daripada waktu-waktu lain.
* Kemudian dari segi tempat dilakukannya, maka berzina di tempat-tempat
suci dan mulia lebih besar dosanya deripada tempat yang lain.
*
Pezina muhson (yang sudah bersuami atau beristeri) lebih hina daripada
gadis atau jejaka, orang tua lebih buruk daripada pemuda, orang alim
lebih buruk daripada yang jahil dan orang yang berkemampuan (terutama
dari segi ekonomi) lebih buruk deripada orang fakir atau lemah.
BERTAUBAT ...
Bertaubat ini bukan khusus hanya kepada penzina, bahkan kepada sesiapa
sahaja yang menunjukkan jalan untuk terjadinya zina, membantu dan
memberi peluang kepada pelakunya dan siapa saja yang ikut terlibat di
dalamnya.
Hendaknya mereka semua segera kembali dan bertaubat
dengan sungguh-sungguh, menyesali apa yang pernah dilakukannya dan
berusaha sekuat tenaga untuk tidak kembali melakukannya. Dan yang paling
penting adalah memutuskan hubungan dengan siapa sahaja dan apa sahaja
yang boleh menarik ke arah perbuatan keji tersebut. Dengan demikian
diharapkan Allah akan menerima taubat itu dan mengampuni segala dosa
yang pernah dilakukan, dan ingatlah, tidak ada istilah ‘putus asa’ dalam
mencari rahmat Allah.
Allah berfirman, mafhumnya:
“Dan orang-orang yang tidak menyembah ilah yang lain beserta Allah dan
tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan
(alasan) yang benar, dan tidak berzina, barangsiapa yang melakukan
demikian itu, niscaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya), (yakni) akan
dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal
dalam azab itu, dalam keadaan terhina, kecuali orang-orang yang
bertaubat, beriman dan mengerjakan amal saleh; maka mereka itu kejahatan
mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun
lagi Maha Penyayang. ” (QS. 25:68-70)
(Disaring dari risalah Daarul Wathan judul Min mafasid az-zina, karya Muhammad bin Ibrahim al Hamd ...)
Wallahu’alam bishshawab, ..